Sepintas lalu Ingatan_kilat

Ingatan kilat adalah ingatan tidak meruap, bermakna ia boleh mengekalkan maklumat yang tersimpan di dalamnya apabila bekalan kuasa dimatikan. Tambahan pula, ingatan kilat menawarkan masa capaian baca yang pantas (walaupun tidaklah sepantas DRAM yang digunakan pada PC) serta lebih tahan hentakan mekanikal berbanding cakera keras. Faktor tersebut menjadikan ingatan kilat popular sebagai media storan bagi peranti elektronik digital. Selain itu, ingatan kilat yang dipakejkan sebagai kad ingatan ataupun pemacu kilat USB adalah tahan lama, tahan tekanan tinggi, tahan panas dan tahan air.

Walaupun secara teknikalnya ingatan kilat diklasifikasikan sebagai sejenis EEPROM, istilah tersebut hanya digunakan kepada jenis EEPROM konvensional yang hanya boleh dipadam dalam blok yang kecil dalam satu-satu masa, biasanya bait demi bait. Oleh kerana kitaran padam yang perlahan, saiz yang besar bagi blok ingatan kilat yang boleh dipadam dalam satu-satu masa menjadikan proses pengaturcaraannya lebih pantas daripada EEPROM jenis lama.